Tuesday 4 September 2018

Hikmah Yang Tak Teridam

Apabila engkau tidak temui kebahagiaan dan ketenangan dengan sesuatu ciptaan yang engkau harapkan. Usah lah bersedih dan menyendiri, namun sebaliknya… Carilah kebahagiaan yang lain, mungkin nanti kau akan temuinya.

Kisah ini penuh emosi, luka, tangis dan duka.

“Ada ke wanita yang tidak punya perasaan?” luah Husna bersama air mata kepada sahabatnya, Mira. Husna merupakan seorang isteri muda yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Lama betul wajah Mira diperhatikanya… Seolah-oleh hati meronta-ronta mengharap soalannya dijawab. Namun Mira hanya berdiam sahaja, mungkin kelu dengan soalan tersebut atau mungkin terkejut. Tiba-tiba sahaja Husna bertanya soalan sebegitu, tidak pernah terlintas pun pada fikiran Mira yang sahabatnya sedang ada masalah.

“Salahkah jika seorang perempuan beremosi, salahkah?” satu lagi soalan keluar dari mulut Husna. Mira teringat tentang satu ceramah yang pernah dilihatnya. Dikatakan watak seorang perempuan, sangat pandai menyembunyikan perasaan, lebih-lebih lagi perasaan yang melibatkan maruah dan harga diri. Namun, apabila perempuan tersebut meluahkannya. Tahulah bahawa ketika itu dia tidak lagi mampu untuk menyembunyikan perasaan itu.

“Aku bukanlah baik, namun susahkan untuk merendahkan ego demi kebahagiaan insan yang bernama isteri? Berlinangan air mata Husna. “Aku berkahwin bukan untuk menangis, aku berkahwin bukan untuk diabaikan, aku berkahwin bukan untuk hidup dalam kesedihan... Mira, tolonglah… Kalau begini ujian yang perlu aku hadapi di alam perkahwinan. Aku rela hidup seorang diri sahaja. Hari-hari yang aku lalui, aku rasakan gelap dan hitam. Lemah dan longlai, pernah hadir satu perasaan alangkah baiknya jika Allah ambil saja nyawaku. Pasti itu lebih membahagiakan dia. Kan?”

“Husna… Istifarlah… Mohon keampunan kepada Allah. Mungkin ini fasa ujian buat kau, Husna. Aku bukanlah pandai untuk memberi nasihat, lebih-lebih lagi aku belum berkahwin. Tidak lagi melalui fasa sebegini… Tapi, bukankah ujian Allah itu hanya buat mereka yang mampu? Kerana Tuhan tahu, kau mampu hadapi. Dia beri ujian sebegini, untuk kuatkan kau, Husna. Yakinlah ada hikmahnya!” balas Mira, memberi kata-kata semangat dan penguat buat Husna.


Bersambung…

Friday 5 January 2018

Anugerah dari Allah

As-Syahid Imam Hasan Al Banna Berpesan: 

1) Apabila mendengar azan, maka bangunlah solat serta-merta walau dalam keadaan apa sekali pun. 
2) Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah. 
3) Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam. 
4) Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa kebaikan. 
5) Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 
6) Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 
7) Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah menyakiti hati orang. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan. 
9) Berkenal-kenalan dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang. 
10) Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. 
Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaannya.  

Thursday 12 October 2017

Tanggungjawab vs Amanah

Baru-baru ini, saya ada buat tinjauan.
"Apa yang membuatkan seseorang paling sedih?"
Ramai yang komen dengan jawapan dan kesedihan masing-masing. Ada juga juga yang mengucap syukur dengan apa yang mereka peroleh, walau telah diuji dengan kesedihan.
Alhamdulillah. Menjadi tinjauan saya.

Sebenarnya, semua jawapan diberikan tiada yang salah. 
Setiap orang, ada sebab-sebab tersendiri mengapa mereka memilih itu mahu pun ini sebagai perkara yang paling sedih dalam hidup mereka. Ya, walau pun sedih dengan ketidakcukupan ais krim yang mereka sedang nikmati tiba-tiba habis diluar kesedaran mereka. (ada yang komen)

Tapi, ada sesuatu yang lagi besar sebenarnya kita perlu fikirkan dalam kehidupan kita. 
Apakah? Tentang tanggungjawab kita.
Suatu saat, seorang bapa akan disoal apakah mereka menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik?

Seorang ibu akan ditanya apakah mereka menjalankan tanggungjawab dengan benar?
Seorang suami/isteri akan disoal apakah mereka melaksanakan amanah yang diberikan dengan patuh?
Seorang anak akan disoal apakah mereka menjadikan tanggungjawab mereka sebagai sesuatu yang utama?

Dan, setiap dari kita akan disoal. 
Umur yang diberikan, harta yang direzekikan, ilmu yang dimiliki, anggota badan yang dianugerahkan..
Apakah digunakan di jalan Allah, atau sebaliknya?
Apakah digunakan untuk mencapai redha Allah, atau sebaliknya? Apakah digunakan untuk memperjuangkan agama Allah, atau sebaliknya?

Benar, kita manusia penuh dosa dan nista. Namun, sampai bila ingin berada dalam dosa? Sampai bila ingin jadikan dosa sebagai penghalang atau alasan ke syurga Allah?
Sedangkan Allah janjikan kemenangan yang besar, bagi mereka yang berjuang dijalan Allah, dengan harta mereka dan diri mereka serta jiwa mereka. 
Andai kita adalah orang yang sering beralasan, memberi penangguhan kepada diri. Sudah tiba masa untuk sedar diri. 
Marilah, ucap kata taubat. Sungguh, Allah menerima taubat setiap hamba-Nya walau apa jua dosa yang pernah dilakukan.

Kadang-kadang, kita merasakan hidup kita lama. Pandai betul kita psiko diri kita kan? Tengok, anak kecil umur 1 hari dijemput ilahi. Kanak-kanak berumur 11 tahun meninggal dunia, remaja belia berumur 22 tahun meninggal. Kawan kita berumur awal 30 baru meninggal. Kelmarin keluar berita pemandu bas berumur 44 tahun meninggal dalam kemalangan... Dan macam-macam lagi..
Benarkah kita ini akan hidup lama? 
Andai tidak taubat hari ini, bilakah lagi?

Thursday 27 July 2017

Secebis Kain Penutup Dosa


Sekali lagi Hannah menangis, sedih dengan kelakukan orang yang sangat dekat dengannya. Nasihat Hannah tidak diendahkan walau pun sudah berbuih mulut Hannah. Benarlah ya, hidayah itu adalah ketentuan dari Allah. Allah beri hidayah kepada seseorang bukan kerana banyaknya orang menegur atau menasihati, tapi Allah beri hidayah itu disebabkan itu sudah menjadi ketentuan yang telah Allah tetapkan. Hannah cuba mengambil nafas, menenangkan dirinya sendiri dengan harapan yang tinggi semoga Allah kurniakan hidayah buat insan yang dia sayang itu.

Kekuatan untuk berubah juga datang dari Allah. Namun, usaha untuk berubah itu datang dari diri sendiri. Sekuat mana keinginan seseorang untuk melakukan perubahan dalam dirinya, maka sekuat itulah Allah kurniakan kekuatan kepadanya. Mohonlah kekuatan dari Allah, letakkan keyakinan yang penuh kepada-Nya. Allah maha Kaya yang mampu memberikan apa sahaja kurniaan kepada hamba-Nya, yang penting perlu yakin dan betulkan niat dari dalam hati hanya kerana Allah SWT. Di sini ada satu hadis yang sentiasa menjadikan Hannah positif dan terus positif… Walau dalam tangisan dan ditemani air mata.
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, Allah berfirman:
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku (Allah) sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.”
(Muttafaqun‘alaih).
Kepada yang sedang mengajak manusia kepada kebaikan, meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Tidak kiralah sesiapa sahaja yang anda ajak, sama ada ibu bapa, ahli keluarga terdekat, sahabat, kawan-kawan, mad’u atau sesiapa pun. Yakinlah bahawa hidayah itu milik Allah, sedangkan setiap usaha yang kita lakukan itu tetap menjadi butir-butir dakwah, mendapat ganjaran dari Allah SWT.

Teruskan mengajak, teruskan berdoa… Teruskan meletak pengharapan kepada Allah.

Sunday 23 July 2017

Mengapa beri sisa kepada Allah?

Mengapa beri sisa kepada Allah?👉


Kadang-kadang dalam kesibukan kita hanya memberikan 

sisa-sisa masa, tenaga dan keinginan kita sahaja 

kepada Allah SWT.


Bukan yang berkualiti kita persembahkan kepada-Nya.

Kita siapkan tugasan kita dahulu, kita tengok tv dahulu, 

kita habiskan perbincangan dahulu, mesyuarat dahulu. 

Kita anggap itu amat penting.


Selepas itu barulah kita nak solat.👉


Dalam masa yang tersisa itupun kita masih 

berkira-kira dengan Allah.


Nak duduk berzikir pun rasa cukup berat, 

nafsu rasa berat, kita rasa nak cepat saja.😔


Itulah nilai yang kita sembahkan kepada-Nya 

sedangkan Dialah yang mencipta dan 

menentukan ke mana kita nanti. 

Utamakan lah pandangan Allah. 

Kerana kepada Allah lah kita akan dikembalikan.. ^__^

Friday 24 March 2017

Hadis 1 : Setiap Amalan Bermula dari NIAT

“Dari Amirul Mukminin, Abu Hafsh, Umar bin Khattab RA berkata:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
‘Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu tergantung pada niat,
dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkan.
Barangsiapa berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya,
maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya,
dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang dia cari
dan wanita yang hendak dinikahinya,
maka dia akan mendapati apa yang ditujuinya.” (HR. Bukhari dan Muslim) Hadis di atas memberikan satu garisan yang jelas
kepada kita semua, bahawa setiap urusan itu
perlu jelas matlamat dan niatnya.
Dan sesungguhnya, niat yang terbaik adalah
diniatkan kerana Allah dan Rasul.
Dalam urusan apa sekalipun,
jadikanlah pilihan hidup kita sentiasa
tetap kerana Allah dan Rasul. Di kesempatan ini, sebab lama sangat dah tak menulis.
Nak tambah sikit pasal hijrah.
Sebab apa hijrah?
Sebabnya, Alhamdulillah.
Saya tengok semakin ramai artis-artis, kawan-kawan,
sahabat-sahabat yang dah kembali kepada fitrah.
Which is kembali kepada kebaikan,
nak buat benda baik dan sebagainya.
Sungguh, itu lah yang dinamakan hidayah Allah,
satu petunjuk dari Allah.
Sebagai mana Rasulullah dan para sahabat berhijrah
dari Kota Mekah ke Kota Madinah,
begitu lah umat perlu berhijrah dari jahiliyah (kejahilan)
kepada seseorang yang berilmu dalam beragama.

Rasulullah pernah bersabda;
"Dan orang yang berhijrah itu adalah dia yang meninggalkan larangan Allah ke atasnya." Dalam berhijrah, perkara yang paling penting adalah NIAT.
Niat yang ikhlas memberi satu kejayaan kepada kita
dalam menuju hasil ganjaran yang dijanjikan Allah.
Dengan niat yang ikhlas juga mampu menjanjikan
bahawa setiap amalan/ibadat/pekerjaan yang dilakukan
itu bermanfaat dan memperoleh keredhaan Allah SWT.

InsyaAllah.
Setakat itu sahaja perkongsian pada hari ini. Semoga yang menulis, juga yang membaca memperoleh manfaat dari Allah SWT... InsyaAllah. Ameeen..

Tuesday 6 December 2016

Himmah Aliyah - Daie Penyambung Risalah Rasulullah


Cita-cita suci akan tercapai apabila ketinggian niat diiringi ketinggian himmah (semangat).
Ada beberapa cara untuk mencapai ketinggian himmah yang telah digariskan oleh Ibnu Qayyim :

1. Niat yg ikhlas
Jangan melakukan sesuatu melainkan niat kerana Allah. 
Umar b. Abdul Aziz, berkata. Apabila ketinggian niat dan ketinggian kehendak seiring. Aku mendapat ketinggian di dunia, iaitu kuasa. Dan mendapat ketinggian di akhirat, iaitu syurga.

2. Sedar 
Kenali diri dan tahu pentas diri di mana.
Jangan terlalu merendah diri sehingga takut untuk mencuba sesuatu. Apabila sedar akan kekurangan yang dimiliki, cuba untuk perbaiki dan jadi yang lebih baik. Jangan pernah selesa di tempat yang sama. Selesalah apabila kita semakin baik dan semakin membaik.

3. Duduk bersama orang yang ada himmah!
Duduk secara berkelompok. Berjemaah! Bercerita tentang sesuatu yg membina semangat. 
Tinggalkan orang yang menjatuhkan dan tiada himmah yang tinggi. 

Himmah, passion for a very long term.

Kita semua #pemimpin. Kita semua #daie.
Seorang daie perlu memiliki dan mengamalkan ketiga-tiga yang di atas. Seorang daie perlu jelas dengan niatnya. Seorang daie perlu sedar akan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikulnya. Seorang daie perlu memiliki kefahaman yang sebenar dan semangat yang tinggi dalam membawa risalah Nabi. Sungguh ! Beruntunglah bagi kita yang menjadi penyambung dakwah Rasulullah. Yakinlah, Allah akan memberi kemenangan kepada Islam. Satu pengiktirafan dari Allah, kerana memilih kita untuk bersama-sama menjadi hamba yang berusaha untuk mencapai kemenangan ini... Allah. Alhamdulillah. 

"Sekuat-kuat jahiliyah, akan tetap mereput lambat laun di depan prinsip yang utuh. Masyarakat berprinsip, pendirian diam-diam ubinya pasti menyebabkan penguasa hipokrit berputih mata. Senyap membuat perkiraan, mengukur kekuatan, mengatur perancangan, menunggu tiba masa yang sesuai untuk menjatuhkan hukuman, tanpa ada musuh yang mengambil kesempatan." - Ustaz Hazizi A.Rahman