Tuesday 4 September 2018

Hikmah Yang Tak Teridam

Apabila engkau tidak temui kebahagiaan dan ketenangan dengan sesuatu ciptaan yang engkau harapkan. Usah lah bersedih dan menyendiri, namun sebaliknya… Carilah kebahagiaan yang lain, mungkin nanti kau akan temuinya.

Kisah ini penuh emosi, luka, tangis dan duka.

“Ada ke wanita yang tidak punya perasaan?” luah Husna bersama air mata kepada sahabatnya, Mira. Husna merupakan seorang isteri muda yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Lama betul wajah Mira diperhatikanya… Seolah-oleh hati meronta-ronta mengharap soalannya dijawab. Namun Mira hanya berdiam sahaja, mungkin kelu dengan soalan tersebut atau mungkin terkejut. Tiba-tiba sahaja Husna bertanya soalan sebegitu, tidak pernah terlintas pun pada fikiran Mira yang sahabatnya sedang ada masalah.

“Salahkah jika seorang perempuan beremosi, salahkah?” satu lagi soalan keluar dari mulut Husna. Mira teringat tentang satu ceramah yang pernah dilihatnya. Dikatakan watak seorang perempuan, sangat pandai menyembunyikan perasaan, lebih-lebih lagi perasaan yang melibatkan maruah dan harga diri. Namun, apabila perempuan tersebut meluahkannya. Tahulah bahawa ketika itu dia tidak lagi mampu untuk menyembunyikan perasaan itu.

“Aku bukanlah baik, namun susahkan untuk merendahkan ego demi kebahagiaan insan yang bernama isteri? Berlinangan air mata Husna. “Aku berkahwin bukan untuk menangis, aku berkahwin bukan untuk diabaikan, aku berkahwin bukan untuk hidup dalam kesedihan... Mira, tolonglah… Kalau begini ujian yang perlu aku hadapi di alam perkahwinan. Aku rela hidup seorang diri sahaja. Hari-hari yang aku lalui, aku rasakan gelap dan hitam. Lemah dan longlai, pernah hadir satu perasaan alangkah baiknya jika Allah ambil saja nyawaku. Pasti itu lebih membahagiakan dia. Kan?”

“Husna… Istifarlah… Mohon keampunan kepada Allah. Mungkin ini fasa ujian buat kau, Husna. Aku bukanlah pandai untuk memberi nasihat, lebih-lebih lagi aku belum berkahwin. Tidak lagi melalui fasa sebegini… Tapi, bukankah ujian Allah itu hanya buat mereka yang mampu? Kerana Tuhan tahu, kau mampu hadapi. Dia beri ujian sebegini, untuk kuatkan kau, Husna. Yakinlah ada hikmahnya!” balas Mira, memberi kata-kata semangat dan penguat buat Husna.


Bersambung…

Friday 5 January 2018

Anugerah dari Allah

As-Syahid Imam Hasan Al Banna Berpesan: 

1) Apabila mendengar azan, maka bangunlah solat serta-merta walau dalam keadaan apa sekali pun. 
2) Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah. 
3) Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam. 
4) Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa kebaikan. 
5) Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 
6) Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 
7) Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah menyakiti hati orang. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan. 
9) Berkenal-kenalan dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang. 
10) Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. 
Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaannya.