Thursday 10 September 2015

Tidak TAKABBUR

TAKABBUR dengan kata mudahnya bermaksud SOMBONG.

Penyakit ini adalah salah satu dari bentuk-bentuk pintu penjajahan syaitan.
Syaitan mampu melemahkan & mempengaruhinya agar menolak kebenaran, 
dan memandang tinggi hal-hal kejahatan (kebatilan).

Orang takabbur = Orang jahil

Hakikatnya, orang yg TAKABBUR ini adalah orang yg JAHIL, tidak tahu akan sesuatu. Pada masa yg sama juga tidak mahu menerima pandangan orang lain.

Tidak sedar hakikat diri yg hanya berasal dari titisan mani, 

kemudian berubah menjadi seketul darah dan dari situ berubah pula menjadi gumpalan daging.
Seterusnya bertukar menjadi bayi yang daif, maka atas dasar apakah dia menjadi seorang yg takabbur?
Penyakit takabbur @ sombong ini merupakan penyakit yang serius.

 Allah memberi amaran di dalam surah Al-Isra’, ayat 37;

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, 
kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi 
dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”


Hadis Rasulullah s.a.w. besabda;

“Sesiapa yang di dalam hatinya rasa takabbur walau sebesar zarah sekali pun, dia tidak akan masuk syurga,”                      

(HR. Muslim dan At-Tarmiziy)

Seterusnya. Rasulullah bersabda dalam satu hadis Qudsiy;

“Keperkasaan itu adalah sarungKu, ketakabburan itu adalah selendangku, 
maka barangsiapa yang menyanggahi-Ku (iaitu dengan bersifat) 
dari kedua-dua sifat tersebut walaupun cuma sedikit sahaja, 
nescaya aku akan mengazabkannya.”


Al-Hassan Al-Basri rh. ada berkata:

“Pelik sekali tabiat anak Adam. Masing-masing dalam sehari, 
mungkin membasuh tahinya dengan tangannya sebanyak sekali atau dua kali. 
Tetapi selepas itu takabbur terhadap Allah s.w.t.”


An-Nu’man ibnu Basyir r.a pernah berkata:

"Jerat syaitan antaranya kufur terhadap nikmat Allah, 
kikir dengan apa yang di anugerahkan, 
bersikap takabbur dengan hamba Allah dan mengikut hawa nafsu."

 Telah diriwayatkan bahawa Mutrah ibnu Abdullah ibnu al-Syakhir melihat 
Al-Muhlab ibnu Abi Sofrah yg berpakaian labuh dan berjalan dengan lagak sombong, lalu menegurnya:

“Wahai Abu Abdullah, apa jenis lagak perjalanan kau ini yg Allah dan rasul-Nya memarahinya?”

“Eh, kau tak kenal aku ke??” Jawab Mulhab.

“Memang aku dah lama kenal kau. Awal kejadian kau ialah dari titisan mani yg hina, 
akhir hidup kau ialah bangkai yg kotor manakala apa yang ada padamu sekarang ini 
hanyalah kencing dan tahi sahaja.” Jawab Mutraf.


Kemudian selepas itu Mulhab terus meninggalkan lagak perjalanannya.        

Yakinlah bahawa:
Segala nikmat adalah dari Allah s.w.t.
Orang yg tiada sikap takabbur ni adalah orang yang tahu hakikat bersyukur.
Orang yang bersikap takabbur ini hanya mereka yang tidak sedar akan hakikat penciptaan mereka.